lokman.khairi@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan mendakwa wujud ‘ejen’ yang sengaja mewujudkan provokasi perkauman serta agama dan perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet, esok.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, perkara berkenaan penting dibincangkan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negara ini.
“Kita akan bawa isu ini ke Kabinet esok dan memang perkara ini akan dibincangkan. Saya sendiri akan bangkitkan perkara ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kompleks PERHEBAT, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pihak berkuasa juga sudah mengambil tindakan awal termasuk membuat tangkapan terhadap beberapa individu yang dipercayai terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh pihak polis sebelum tindakan seterusnya diambil.
“Saya dimaklumkan semalam bahawa sudah ada tangkapan dibuat dan selepas ini pendakwaan akan menyusul.
“Namun kita beri ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh sebelum Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) perlu dilaksanakan secara tegas bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia sebenarnya sudah mengetahui individu yang sering mencetuskan provokasi berkenaan.
Ramanan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit bagi mengelakkan mereka mendapat perhatian yang tidak perlu.
“Kalau kita lihat ejen-ejen provokator ini, perkara ini sudah banyak kali dibangkitkan sebelum ini.
“Ramai rakyat Malaysia sudah tahu dan boleh kenal pasti siapa individu yang saya maksudkan.
“Saya tak perlu sebut nama mereka kerana tidak mahu menjadikan mereka lebih terkenal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






