Tafsir ayat al-Quran tak tepat? PU Syed mohon maaf, terpaksa tegur Vida secara terbuka

Tafsir ayat al-Quran tak tepat? PU Syed mohon maaf, terpaksa tegur Vida secara terbuka


Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak tampil memberi teguran terhadap perkongsian usahawan sensasi, Hasmiza Othman mengenai kelebihan Surah Al-Fill yang didakwa boleh membantu membuka pintu rezeki.

Tiada dalil menyokong dakwaan tersebut

Menerusi satu hantaran di Instagram, Syed atau lebih dikenali sebagai PU Syed menyatakan tiada dalil yang menyokong dakwaan bahawa surah tersebut boleh menjadi penarik rezeki sekiranya diamalkan.

Katanya, perkara seperti itu boleh menimbulkan salah faham sekiranya disebarkan tanpa sandaran yang tepat.

“Disabitkan bahawa membaca ayat itu akan dimurahkan rezeki, sebenarnya tidak ada sandaran dan dalil perkara tersebut berlaku.
“Kita risau tafsiran ayat Allah SWT di atas satu perkara yang tidak tepat, disebarkan pula, tambahan dia bukan ahli atau ulamak untuk dibahaskan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran,” katanya.

Mohon maaf terpaksa tegur secara terbuka

Dalam pada itu, PU Syed turut meminta agar Vida menurunkan video tersebut bagi mengelakkan kekeliruan terus berlaku dalam kalangan orang ramai.

Dia juga memohon maaf kerana terpaksa menegur secara terbuka memandangkan video tersebut sudah mendapat perhatian ramai di media sosial.

“Saya harap dia dapat menurunkan semula video tersebut. Walaupun dia seorang yang kaya, tapi tidak bermakna mengamalkan ayat itu menunjukkan bahawa berlakunya pertambahan rezeki atau dibukakan pintu rezeki.
“Minta maaf kepada Datuk Vida saya membuat teguran secara terbuka seperti ini kerana video tersebut sudah tersebar dan dikongsi ramai orang, sedangkan perkara ini tidak tepat dan tidak benar,” ujarnya.

Pada masa sama, Syed menjelaskan bahawa antara amalan yang dianjurkan untuk memohon rezeki daripada Allah SWT adalah dengan memperbanyakkan istighfar.

“Tak betul bila kalimah Rabukka dikaitkan dengan perkataan ‘Buka’.
“Sebenarnya salah satu kaedah untuk kita meminta kepada Allah adalah dengan beristighfar. Allah akan bukakan pintu rezeki, insya-Allah dan kita pun kena berusaha juga untuk mendapatkan sesuatu,” kongsinya.

Terdahulu, tular di TikTok memperlihatkan Vida membacakan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Fiil dan mendakwa ia begitu mujarab untuk membuatkan rezeki bertambah luas khususnya kepada mereka yang bergelar sebagai usahawan.

Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian dan ramai yang menegur usahawan berkenaan supaya tidak menafsir ayat al-Quran secara  semberono tanpa memberikan makna yang sebenar, malah ada juga memperbetulkan bacaan ayat suci terbabit.





Source link

OR

Scroll to Top