Rebah 1.6 km dari garisan penamat, pelari maraton kritikal akibat serangan jantung

Rebah 1.6 km dari garisan penamat, pelari maraton kritikal akibat serangan jantung


London: Seorang lelaki kini bertarung nyawa selepas mengalami serangan jantung kira-kira 1.6 kilometer dari garisan penamat ketika menyertai London Marathon, Ahad lalu.

Gareth Hopkins, 43, yang menyertai larian itu bagi pihak badan kebajikan Age UK menyertai larian itu memperingati mendiang neneknya sebelum tragedi berlaku.

Anggota paramedik itu kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di London.

Gareth menyertai maraton itu bersama saudaranya, Chris.

Pasangan adik-beradik itu berlari bagi memperingati mendiang nenek mereka, Tricia Petts, yang meninggal dunia pada Januari 2025 selepas enam tahun bertarung dengan penyakit Alzheimer dan demensia.

Sejurus kejadian, satu laman GoFundMe diwujudkan untuk membantu keluarganya.

Rakan mangsa, James Pearson berkata, walaupun keadaan mangsa belum pasti, mereka kekal positif dan penuh harapan.

Kejadian yang mengejut dan menyedihkan itu memberi kesan mendalam kepada isteri Gareth, Jodie, anak-anak mereka yang masih kecil, serta ibu bapa dan saudara lelakinya.

Gareth sudah berkhidmat sebagai paramedik di Perkhidmatan Ambulans East of England selama 20 tahun.

Sepanjang kerjayanya, dia sentiasa komited membantu orang ramai ketika mereka memerlukan.

Kutipan dana itu diwujudkan bagi meringankan beban kewangan sepanjang Gareth menerima rawatan di London.

Berasal dari Hoddesdon, Gareth mula menjalani latihan pada hujung Ogos lalu.

Sebelum perlumbaan, dia memberitahu BBC dia tidak pernah bersenam selama lima tahun, tidak ke gimnasium dan bukan seorang pelari.

Namun, dia nekad menamatkan maraton sejauh 42.2 kilometer (26 batu) itu walaupun perlu berdepan cabaran besar selepas berjaya menurunkan berat badan dan menjalani latihan intensif.

London Marathon tahun ini yang berlangsung Ahad lalu di ibu negara itu berjaya mengumpul sekurang-kurangnya 87.5 juta pound sterling (kira-kira RM525 juta) untuk tujuan amal.

Selain itu, lebih 22,300 pound sterling (kira-kira RM134,000) didermakan ke laman GoFundMe untuk keluarga Gareth.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top