Pengacara dan penyanyi, Datuk AC Mizal menegaskan penggiat seni perlu sentiasa peka terhadap perubahan semasa supaya karya yang dihasilkan terus relevan serta mampu menarik perhatian generasi muda.
Menurut AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, dunia hiburan sentiasa berkembang, justeru setiap pengkarya perlu bijak menyesuaikan diri dengan trend semasa, khususnya dalam penghasilan lagu, drama dan filem.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan sesebuah karya bukan sahaja mudah difahami oleh penonton hari ini, malah berupaya meninggalkan kesan dan terus diingati dalam tempoh yang panjang.
“Semua benda berubah dan kita kena ikut peredaran zaman. Kalau buat drama, lagu atau filem, semuanya ada kaitan dengan trend semasa supaya generasi muda boleh terima,” katanya.
Dalam pada itu, anggota kumpulan 4U2C tersebut turut mengingatkan penggiat seni agar tidak terlalu terikat dengan ego, sebaliknya lebih terbuka untuk memahami kehendak pasaran.

Jelasnya, meskipun sudah lebih tiga dekad bergiat aktif dalam industri hiburan, dia tetap berusaha menghasilkan sesuatu yang baharu agar selari dengan perkembangan semasa.
AC berkongsi pandangan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Mari Menari Raya, yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi JessC di St. Giles Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagu berkenaan menampilkan gabungan elemen pop moden, hip-hop serta sentuhan tradisional Melayu, sekali gus membawa mesej keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi susunan muzik yang segar dan kontemporari.






