“Wanita Murah, Lelaki Tiada Pegangan” – Reen Rahim Luah Rasa ‘Meluat’ Banyak Cerita Kisah Penyondol, Rindu Drama Ada Nilai

“Wanita Murah, Lelaki Tiada Pegangan” – Reen Rahim Luah Rasa ‘Meluat’ Banyak Cerita Kisah Penyondol, Rindu Drama Ada Nilai


Pelakon, Reen Rahim meluahkan rasa kecewa terhadap lambakan drama tempatan yang menurutnya masih berkisar pada jalan cerita sama terutama membabitkan isu penyondol dan watak wanita yang digambarkan lemah.

Menerusi perkongsian di platform Threads, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 38, berkata, skrip drama ketika ini seolah-olah tidak berkembang dan berulang pada tema yang sama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, sebagai pelakon dia tidak menafikan watak antagonis atau jahat mempunyai daya tarikannya tersendiri, namun sebagai penonton dia berasakan jalan cerita yang dipaparkan semakin memenatkan.

“Jujur cakap, makin lama makin meluat. Drama sekarang macam tak ada cerita lain. Pusing-pusing kisah penyondol, wanita bodoh, wanita murah.

“Lima tahun ini macam skrip ‘stuck’ dekat takuk yang sama,” katanya.

Tambah Reen, kebanyakan drama sering memaparkan watak lelaki yang tidak bertanggungjawab serta wanita yang digambarkan mudah diperbodohkan.

“Bawa watak jahat memang best. Tapi POV sebagai penonton, penatlah nak tengok cerita perempuan murah. Lelaki tak ada pegangan, perempuan bodoh, lelaki bebal,” katanya.

Aktres drama rantaian Pujaan Hati Kanda ini juga berpandangan naratif sedemikian tidak lagi relevan dengan realiti masyarakat masa kini yang menurutnya semakin bijak dan mempunyai nilai tersendiri.

“Itu zaman bila punya perempuan, zaman tu dah habis lah. Sekarang manusia dah bijak, faham dan ada value.

“Bukan marah, kita cuma rindu cerita yang ada nilai,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top