Kuala Lumpur: UMNO bersetuju memberi mandat kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu antara ketetapan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti yang berlangsung malam ini.
“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalin kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini.
Terdahulu, mesyuarat yang bermula pada 8.45 malam itu dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan MT.
Asyraf Wajdi berkata mesyuarat turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 Sepember ini, selain memaklumkan terdapat tiga program akan diadakan pada 8 Sept iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Muktamar Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.
Sementara itu, beliau berkata UMNO menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan menegaskan bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan serta disabitkan dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah.
“UMNO menegaskan parti ini konsisten tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti, yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
