UMNO arah kepimpinan negeri runding kerjasama politik untuk pilihan raya


KUALA LUMPUR: UMNO mengarahkan kepimpinan parti di peringkat negeri supaya mengadakan perbincangan dan perundingan dengan parti politik yang bersedia menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu mengambil kira pelbagai dapatan kajian empirikal yang menunjukkan sentimen rakyat, khususnya orang Melayu, yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan.

Beliau berkata, kepentingan keindukan Melayu juga dilihat sebagai antara asas penting kepada kestabilan politik negara.

“UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik dalam kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat, terutamanya orang Melayu, yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk kepimpinan UMNO negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan, sebarang usaha menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan.

Kata beliau, perundingan berkenaan tidak seharusnya dipengaruhi unsur ugutan atau gertakan.

“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam Pilihan Raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi, mesyuarat turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Katanya, jemputan itu sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang sebelum ini diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas.

Sementara itu, UMNO menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ mesti sentiasa dihormati dan dijunjung dengan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa.

Beliau berkata, parti itu berpandangan sebarang tindakan untuk memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah atau ‘presumption of innocence’ serta semangat kedaulatan undang-undang.

“UMNO menegaskan parti ini konsisten tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti, yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya. –UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top