Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq akhirnya menoktahkan khabar gembira buat para peminat apabila memuat naik video sewaktu melamar selebriti, Bella Astillah.
Bermula dengan kerjasama
Menerusi hantaran yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq menyatakan kerjasama antara mereka dalam beberapa projek telah membuahkan bibit cinta sekaligus menyatukan dua hati.
“Bermula dengan kerjasama biasa yang akhirnya meraih lebih RM6 juta untuk rakyat, tanpa sedar turut menyatukan dua hati.
“Allah SWT sebaik-baik perancang,” ujarnya.
“She said yes!”
Beliau juga mengesahkan bahawa hari ini merupakan hari pertunangan mereka dan ia bukanlah satu pengakhiran kepada hubungan terjalin tetapi satu permulaan baru untuk mereka.
Syed Saddiq juga memohon doa agar urusan mereka dipermudahkan.
“I asked, she said yes!
Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita.
Dan hari ini majlis pertunangan kami, doakan,” tulisnya lagi.
Melamar atas Gunung Kinabalu
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa lamaran yang dibuat berlangsung di atas Gunung Kinabalu dan ketika itu hujan lebat.
Namun ia tidak menjadi halangan untuk masing-masing berjanji mengikat komitmen sebagai pasangan yang menuju hubungan yang halal.
“Proposal di atas Gunung Kinabalu masa hujan lebat,” jelasnya.
Bertunang petang ini
Dalam pada itu, memetik laporan daripada Kosmo! sumber terdekat mereka juga telah mengesahkan majlis pertunangan pasangan sensasi itu akan berlangsung di sebuah premis acara di ibu negara.
“Petang ini bukan majlis pernikahan, sebaliknya mereka ikut adat dengan bertunang dulu, barulah bernikah dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Tarikh nikah saya tak boleh dedahkan, tunggu sahaja pengumuman mereka. Cuma yang saya boleh katakan persediaan untuk pasangan itu disatukan sudah dijalankan termasuk tempah venue resepsi serta ‘locked’ MUA (jurumekap) berbeza untuk nikah dan sanding.
“Sebelum ini ada pihak dakwa Bella dan Syed Saddiq bertunang di luar Lembah Kelang, tapi sebenarnya di sini, sebab ahli keluarga terdekat Bella dari Sabah juga sudah ada di sini,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu laman sosial kecoh memperkatakan kemungkinan pasangan yang digelar BASS itu bakal disatukan pada 28 Mac 2026.
Menguatkan lagi spekulasi apabila netizen ternampak set hantaran ketika ahli politik itu bersalaman dengan ahli keluarga di pagi Syawal.
Sebelum ini juga, beberapa selebriti juga memberi ‘bayangan’ awal bahawa tema busana hari istimewa pasangan terbabit adalah berwarna kuning.

Abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Syed Abdullah atau Space Dollah turut berkongsi bayangan berhubung berkenaan majlis rahsia hari ini.
Menerusi satu perkongsian, Dollah yang juga pempengaruh terkenal berkongsi video keterujaannya menerima ‘hadiah’ daripada Bella dan terlepas ungkapan ‘welcome to the family’, sekali gus memberi tanda wanita terbabit bakal menjadi ahli keluarganya dalam tempoh terdekat.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak masih mengunci mulut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung spekulasi yang bertebaran.
Sumber: Instagram Syed Saddiq, Kosmo Online (Hanisah Selamat)





