Aaron-Wooi Yik tidak bermasalah ke pusingan seterusnya

Aaron-Wooi Yik tidak bermasalah ke pusingan seterusnya



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berhadapan masalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya di Terbuka Artik di Vantaa, Finland, apabila berjaya menumbangkan pasangan China, sebentar tadi.

Beregu lelaki utama negara itu sebelum ini terpaksa melupakan beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka China susulan kecederaan retak tulang jari kaki kanan yang dihadapi Wooi Yik.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga di Terbuka Artik yang berstatus Super 500 BWF (Persekutuan Badminton Dunia), pasangan ranking empat dunia itu hanya memerlukan aksi straight set untuk menundukkan Chen Bo Yang-Liu Yi.

Menentang Bo Yang-Liu Yi yang berada di ranking 21 dunia, Aaron-Wooi Yik tampak sedikit bergelut sebelum meraih kemenangan 21-18 pada set pertama.

Dan situasi sama masing berulang pada set kedua dengan kedua-dua beregu saling berbalas mata sebelum pasangan negara sekali lagi menang 21-18 pada set kedua dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.

Sebagai rekod, aksi yang berlangsung di Vantaan Energia Areena itu adalah penampilan sulung pertama pasangan itu selepas Paris.

Sekalipun menghuni ranking keempat dunia, Aaron-Wooi Yik ketika ini perlu bekerja keras untuk menempatkan diri di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.

Selepas tidak beraksi di beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan China sejak pulang dari Paris, pasangan itu ketika ini menghuni ranking ke-16 dalam pemburuan ke kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM10.7 juta) itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top