Pelakon, Cristina Suzanne mengakui lebih selesa membesarkan anak tunggalnya, Adrian Noah Faiz, 7, di depan mata berbanding menghantarnya ke sekolah asrama.
Menurut Cristina, dia sudah menetapkan sejak awal anaknya bebas menentukan hala tuju hidup sendiri apabila mencecah usia 18 tahun, tanpa sebarang halangan.
“Saya dah bersedia untuk anak saya bawa haluan sendiri bila dia umur 18 tahun ke atas. Saya dah cakap dengan dia, ‘once you 18 years old, you can do whatever you want, go’. Tak ada nak halang-halang dia,” katanya.
Bagaimanapun, bagi tempoh membesar, pelakon itu memilih untuk tidak ‘melepaskan’ anaknya terlalu awal, termasuk menolak cadangan menghantar ke sekolah berasrama.
“Masuk sekolah asrama saya tak benarkan. Pergi sekolah biasa saja. Saya rasa kalau dia nak berdikari, biarlah bila dah habis sekolah nanti, duduk sendiri, kerja sendiri.
“Umur 14, 15 tahun tu terlalu awal untuk dia belajar kawal dan berdepan dengan emosi,” katanya.
Cristina berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Jangkar di Wisma Metrowealth, pada Selasa.

Dalam masa sama, Cristina mengakui kebimbangan terhadap isu buli turut menjadi antara sebab utama dia mengambil pendekatan tersebut.
“Risau pasal kes buli pun ya juga. Takut kita pula yang datang sekolah nanti marah guru. Saya bukan overprotective, tapi lebih baik jauhkanlah,” katanya.
Tambahnya, sebagai ibu kepada anak tunggal, dia amat menitikberatkan persekitaran yang sihat dalam proses pembesaran Noah, khususnya dari segi pengaruh rakan sebaya.
“Seorang saja anak, jangan jadi apa-apa. Bagi dia kawan yang baik, kerja yang baik tu nasib. Yang penting kawan-kawan dia semasa membesar tu elok,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Cristina bakal membintangi filem Jangkar arahan Jasong King dan Ayish Shaukat yang akan mula penggambaran bermula 7 April ini
Selain Cristina, Jangkar turut dilakonkan oleh bintang hebat tanah air seperti Yusof Hashim, Fikry Ibrahim, Noki K-Clique, Alieff Irfan dan Datuk Tarmimi Siregar.






