Beto Kusyairy Segan Jadi Inspirasi Pelakon Baharu – “Saya Juga Masih Mencari Ilmu Sama Seperti Mereka”

Beto Kusyairy Segan Jadi Inspirasi Pelakon Baharu – “Saya Juga Masih Mencari Ilmu Sama Seperti Mereka”


Pelakon berbakat, Beto Kusyairy mengakui berasa sedikit segan apabila namanya dipetik antara pelakon yang dijadikan inspirasikan selain menjadi idola para pelakon baharu tanah air.

Menghargai pengiktirafan itu, Beto atau nama lengkapnya, NurKusyairy Zakuan Osman, 46, bagaimanapun menganggap dirinya masih sama dan perlu belajar banyak perkara sama seperti pendatang baharu yang lain.

“Saya hanya mampu bersyukur jika mereka melihat saya sebagai inspirasi. Saya sentiasa menyokong pelapis baharu yang berpotensi kerana mereka yang akan menggantikan orang-orang lama, suatu hari nanti.

“Saya juga berasa agak segan bila pelakon baharu kata mereka idolakan saya. Sama seperti mereka semua, saya juga masih terus mencari ilmu dalam industri,” katanya.

Beto berkongsi perlara demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Gayong 2 yang diadakan di TGV, One Utama pada Rabu.

Mengulas lanjut, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) (2024) dan Aktor Filem Popular ABPBH 35 itu bagaimanapun tidak menolak untuk bekerjasama bersama pelakon baharu sekiranya mereka serius terhadap karier mereka.

“Tiada masalah pun, asalkan mereka serius dalam apa yang mereka lakukan.  Saya terbuka untuk bekerjasama.

“Jika apa yang saya lakukan dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk meningkatkan atau memperbaiki mutu lakonan, Alhamdulillah, teruskan. Namun, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai idola,” jelasnya.

Sekadar info, selain Beto, antara barisan pelakon hebat tanah air yang terlibat dalam filem Gayong 2 ini adalah, Nabila Huda, Syafie Naswip, Azizul Ammar, Sandra Lim, Rabbit Chen, Hanna Aqeela, Fauzie Laily, Bobby Tonelli dan ramai lagi.



Source link

OR

Scroll to Top