Pelakon Fattah Amin dilapor bakal memfailkan semula permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya, Nur Fazura.
Memetik mStar Online, ia berikutan selepas Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menolak permohonannya pada 31 Mac lalu berhubung isu hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
BACA: Permohonan Fattah Ditolak Mahkamah, Fazura Tak Langgar Hak Lawatan Fatima
Menurut peguam yang mewakili Fattah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata kegagalan permohonan tersebut adalah kerana Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim, meminta pihak Fattah memperincikan beberapa perkara sebelum memfailkan semula permohonan kebenaran secara ex parte terhadap Fazura.
“Saya dimaklumkan Fazura telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, antaranya tidak menunaikan janji untuk memberikan hak lawatan Nur Fatima kepada bapanya dengan alasan berada di London,” kata Akberdin.
Sementara itu, Akberdin berkata sejak perceraian, Fattah berdepan kesukaran untuk bertemu anaknya dan masih bersabar dengan bekas isterinya yang sering memberi alasan.
“Selepas banyak kali memberi muka, Fattah terpaksa melantik saya untuk memfailkan permohonan ini supaya perjanjian yang telah dipersetujui di mahkamah sebelum ini dipatuhi dan dihormati,” tambahnya.
Dalam pada itu, Akberdin berkata meskipun hak penjagaan penuh diberikan kepada bekas isteri, Fattah masih diberi hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.
Namun, hak tersebut dihalang dengan pelbagai alasan, menyebabkan aktor itu terpaksa menggunakan jalan undang-undang untuk menuntut hak yang sepatutnya.
“Pihak kami akan fail semula dalam masa terdekat kerana Fattah sudah cukup bertolak ansur selama ini. Kali ini, dia mahu mahkamah menentukan apa yang terbaik untuk menuntut haknya sebagai bapa kepada Nur Fatima.
“Hak lawatan yang sepatutnya diberikan kepada Fattah perlu dipatuhi oleh bekas isterinya. Jika tidak, pihak kami boleh memfailkannya di mahkamah,” katanya.
Sumber: mStar Online






