Hasrat untuk melihat gandingan pelakon dan penyanyi Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam sebuah projek khas dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Bella, perbincangan awal bagi kolaborasi bersama Usanita untuk platform UTV itu sudah mencapai persetujuan, namun masih menunggu kesesuaian jadual.
“Ini pertama kali saya bekerjasama dengan Usanita, jadi saya memang sangat menantikan projek ini.
“Cuma kita belum putuskan tarikh dan jalan cerita macam mana, jadi saya tak boleh kongsi lebih. Insya-Allah memang kita dah lama nak buat kolaborasi ini, tunggu sahaja nanti,” katanya.
Enggan menyusahkan pihak produksi, Bella mengakui kekangan jadual menjadi faktor utama kenapa projek tersebut masih belum mencapai persetujuan penuh.
“Ya, kami masih menunggu tarikh sebab saya ada masalah dengan jadual. Saya tak nak menyusahkan pihak produksi kemudian hari, tapi memang akan ada,” jelasnya.

Sementara itu, Syed Saddiq pula dilihat berseloroh apabila diajukan soalan mengenai kesediaannya untuk berlakon bersama.
“Saya fokus di Parlimenlah. Dalam peranan ini, saya akan jadi partner yang paling supportive itu sahaja,” balasnya.
Tidak menolak kemungkinan untuk tampil di kaca televisyen, Syed Saddiq berkata perkara itu bergantung kepada keadaan.
“Kita tengok nanti… mungkin saya akan diheret seperti mana saya diheret bila perlu menari.
“Sekiranya Bella mahukannya, saya akan cuba yang terbaik” tambahnya.

Dalam pada itu, Bella turut menghargai sokongan yang diberikan selain berterima kasih kepada pihak Usanita atas peluang tersebut.
“Biarlah dia fokus dengan kerjayanya, tetapi sentiasa menyokong saya. Alhamdulillah,” ujarnya.






