Ribuan peserta menghadiri konvoi bermotosikal anjuran Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu lalu atas kesedaran sendiri, meskipun dunia kini menghadapi krisis tenaga global.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, para peserta sanggup menanggung kos minyak motosikal sendiri kerana percaya terdapat isu yang lebih besar membebankan negara ketika ini.
“Bagi peserta, berbanding isu harga minyak mahal, ada perkara lain yang lebih membebankan negara ketika ini, iaitu kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang pada pandangan mereka perlu diturunkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Muhammad Sanusi berkata, kehadiran ramai peserta ke program anjuran PN menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha memperkukuh perpaduan ummah khususnya penyatuan Islam dan Melayu, dan ini membuktikan semangat akar umbi parti tersebut masih kukuh.
Foto: FB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
“Sebab itu mereka sanggup hadir dan menyokong program anjuran Perikatan Nasional (PN). Mereka juga setuju dengan usaha memperkukuh perpaduan ummah, khususnya penyatuan Islam dan Melayu, sebab itu mereka datang beramai-ramai,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut membandingkan tindakan peserta konvoi itu dengan semangat rakyat Iran yang menderma untuk menyokong usaha menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Kenapa mereka sanggup? Sebab mereka melihat bahaya kejahatan AS dan Israel lebih besar daripada kesan kehilangan harta benda mereka.
“Sama juga dengan kami. Bahaya politik PH dan BN ketika ini lebih besar daripada habis duit poket untuk beli minyak motosikal,” tegasnya.
Terdahulu, konvoi itu melibatkan Menteri Besar dari Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, dihadiri lebih 100,000 peserta yang berlangsung sempena Perhimpunan Penyatuan Ummah Antarabangsa Kali ke-5 bersama Himpunan Dunia Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, Kuala Nerus.
Foto: FB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil mengkritik tindakan PN menganjurkan konvoi berkenaan yang disifatkan sebagai pembaziran apatah lagi ketika dunia berhadapan krisis tenaga.
“Namun dalam negara kita menyaksikan konvoi motosikal melibatkan ribuan peserta, satu demonstrasi yang jelas menggalakkan penggunaan bahan api secara berlebihan dalam satu acara.
“Ini bukan sekadar tidak peka. Ia mencerminkan kegagalan menetapkan keutamaan yang membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Foto arkib: Utusan
Justeru, Muhammad Sanusi yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya PAS menyindir Nurul Izzah agar memberi perhatian kepada isu dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlebih dahulu sebelum mengkritik program pihak lain.
“Beritahu adinda Nurul Izzah, selesaikan dulu masalah dalam ‘rumah tangga’ sendiri sebelum sibuk dengan program orang lain. Mereka sekarang pun sedang berperang teruk susulan perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR tempoh hari.
“Apabila masalah parti diheret menjadi masalah kerajaan dan akhirnya masalah negara, semuanya jadi berselerak. Bukan mereka yang rugi, tetapi rakyat yang akhirnya menanggung kesan,” sindirnya.
Sumber: Free Malaysia Today (Anne Muhammad)





