Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 36 kertas siasatan berkait penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital, melibatkan krisis tenaga global.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, susulan itu 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
Katanya, sebanyak enam kertas siasatan pula telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” tegas MCMC.
KREDIT GAMBAR UTAMA: MCMC






