RUU 355 tidak dibentangkan sesi Dewan Rakyat minggu depan

RUU 355 tidak dibentangkan sesi Dewan Rakyat minggu depan


PUTRAJAYA – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan hanya akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.

“Tidak ada (perbentangan RUU35 pada sesi Parlimen minggu depan) belum lagi.

“Yang dalam sidang kali ini, kita akan bawa adalah berkaitan dengan RUU Mufti,” katanya dalam sidang media Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama YWM, JAKIM, MAIPWP, Zuss Coffee dan Cinta Gaza Malaysia di Dataran JAKIM Kompleks Islam Putrajaya.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada 16 atau 17 Oktober ini.

Bacaan kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

Jelas Mohd Na’im, perbentangan RUU Mufti sudah dipersetujui oleh Kabinet untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga.

“RUU ini dibentangkan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Labuan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pindaan terhadap RUU355 harus dijadikan satu dokumen yang kukuh dan disepakati di antara negeri-negeri, mufti serta golongan ulama.

Setakat ini, bekas Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengerusi seterusnya Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bersetuju dengan kerangka awal pindaan tersebut.

Pada Mei lalu, Mohd Na’im berkata, cadangan untuk membentangkan pindaan terhadap Akta 355, dan Akta Tatacara MAL Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) telah diluluskan.

Julai lalu, media melaporkan empat RUU yang sepatutnya diputuskan pada mesyuarat Dewan Rakyat ketika itu, ditangguhkan ke mesyuarat akan datang. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top