Pelakon Wanna Ali selamat melahirkan cahaya mata pertama, seorang bayi lelaki seberat 3.7 kilogram, awal pagi tadi secara pembedahan.
Khabar gembira itu dikongsikan ibunya yang juga penerbit, Datuk Ayu Puteh menerusi Instagram Stories.

Menerusi perkongsian tersebut, Ayu meluahkan rasa syukur dan mengakui masih sukar mempercayai bahawa dia kini sudah bergelar nenek.
“Alhamdullillah.. TokMi dan TokAyah macam tak percaya. Tapi real rupanya… Wanna selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.7 kg subuh tadi secara operasi.
“Aku orang yang paling happy bahagia.. Terima kasih saudara-saudara dan kawan-kawan aku dan kawan Wanna dan suaminya mendoakan Wanna. Syukur Alhamdullillah,” tulisnya.

Sebelum ini, Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Mohd Ali berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan sedang hamil anak sulung selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga.
Pada Januari lalu, dia memaklumkan usia kandungannya ketika itu sudah mencecah 25 minggu dan bakal memasuki trimester ketiga.
Untuk rekod, Wanna mendirikan rumah tangga dengan Khairil Amri Khalid pada 9 Februari 2025.





