Ringankan beban rakyat! BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel dinaikkan RM400 sebulan bagi April – MoF

Ringankan beban rakyat! BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel dinaikkan RM400 sebulan bagi April – MoF


Kerajaan akan menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi negara terus berjalan lancar susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, peningkatan harga diesel bertapis yang melonjak sehingga AS$250 atau kira kira RM989 satu tong iaitu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat memberi kesan besar kepada kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, langkah penambahbaikan itu dilaksanakan secara bersasar melibatkan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.

“Keutamaan kerajaan adalah jelas iaitu memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia,” katanya dalam kenyataan media oleh Kementerian Kewangan.

Antara inisiatif yang diumumkan termasuk kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah atau IPKP bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar yang dijangka memanfaatkan kira kira 200000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.

Kerajaan turut mengekalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 sehektar semusim bagi membantu mengurangkan beban kos input pertanian.

Selain itu bantuan tunai di bawah program BUDI Agri Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026 melibatkan lebih 350000 penerima dengan tambahan peruntukan sekitar RM35 juta sebulan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi bulan ini termasuk tambahan peruntukan bagi semua inisiatif bantuan diesel.

Artikel lain: Tiada permohonan tambahan! MOF tegaskan had BUDI95 kekal 200 liter

Dalam masa sama kerajaan turut melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan termasuk membenarkan pembelian melebihi 20 liter bagi pemilik jentera pertanian dengan hanya mengemukakan pendaftaran jentera.

Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam masa terdekat manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan terus memantau perkembangan di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat yang terkesan.

Sumber: FB Kementerian Kewangan





Source link

OR

Scroll to Top