PETALING JAYA: Peningkatan jumlah tuntutan, di sebalik kenaikan harga rawatan menjadi pemacu utama inflasi tuntutan perubatan Malaysia yang kekal tinggi pada 12.28 peratus pada 2025, menurut Laporan Inflasi Tuntutan Perubatan Malaysia 2025.
Daripada peningkatan 12.28 peratus itu, sebanyak 11.22 mata peratusan datang daripada pertambahan jumlah tuntutan, manakala bakinya disumbangkan kenaikan kos rawatan, menunjukkan penggunaan perkhidmatan kesihatan kini menjadi faktor lebih besar dalam peningkatan keseluruhan tuntutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell berkata, inflasi tuntutan perubatan kekal tinggi pada 12.28 peratus pada 2025 manakala, 11.22 mata peratusan datang daripada peningkatan jumlah tuntutan.
“Dapatan itu menunjukkan penggunaan perkhidmatan kesihatan, bukan harga perubatan sahaja, menjadi pemacu utama kenaikan kos tuntutan. Penggunaan merangkumi bilangan individu mendapatkan rawatan, kekerapan rawatan, jenis prosedur serta tahap intensiti penjagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Skala penggunaan rawatan yang meningkat turut tercermin pada jumlah bayaran tuntutan industri insurans dan takaful, yang mencecah RM13.5 bilion pada 2025 berbanding RM12.2 bilion pada 2024, meningkat kira-kira 10.7 peratus.
Bagaimanapun, corak penggunaan rawatan mula berubah apabila tuntutan pesakit dalam susut sedikit buat kali pertama, daripada kira-kira 808,200 pada 2024 kepada 803,400 pada 2025, manakala tuntutan rawatan harian meningkat daripada 314,500 kepada 354,100.
Pada masa sama, kenaikan kos rawatan keseluruhan lebih sederhana.
Laporan menyatakan tuntutan hospital kerajaan dan hospital pengajar, yang merangkumi kira-kira 9 peratus daripada keseluruhan tuntutan, mencatat penurunan kos 14 peratus, manakala kos rawatan di hospital swasta meningkat 5.86 peratus dan pusat rawatan harian swasta 2.3 peratus.
Tekanan tuntutan mempunyai implikasi langsung terhadap premium insurans perubatan dan sumbangan takaful kerana tuntutan lazimnya membentuk kira-kira 75 hingga 80 peratus daripada jumlah premium atau sumbangan.
Apabila kos tuntutan meningkat, kecukupan premium dan kemampanan dana turut tertekan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd. Radzuan Mohamed berkata, data menunjukkan tekanan itu bukan cabaran jangka pendek.
“Purata tahunan inflasi tuntutan perubatan berada pada 13.63 peratus antara 2023 dan 2025, berbanding kira-kira 8 peratus antara 2013 hingga 2018,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon pula berkata, pertumbuhan tuntutan tidak boleh ditangani oleh satu sektor sahaja.
Kim Soon berkata, kerjasama penyedia penjagaan kesihatan, pengawal selia dan syarikat insurans diperlukan bagi menangani trend penggunaan serta memastikan perlindungan perubatan kekal mampan.
Bagi tempoh terdekat, laporan tidak memberikan unjuran tepat inflasi tuntutan bagi 2026, tetapi menjangkakan pertumbuhan tuntutan dua angka akan berterusan.
Langkah seperti deduktibel, insurans bersama, usaha membanteras penipuan dan pembaziran, ketelusan kos, bil berasaskan Diagnosis Related Group serta MediAsas dijangka membantu menyederhanakan pertumbuhan tuntutan dari semasa ke semasa. – UTUSAN
