am@hmetro.com.my
Ipoh: Peningkatan hujan yang membawa lebih banyak partikel mineral melalui air larian dipercayai menjadi antara faktor mencetuskan fenomena sebahagian Sungai Perak di Hulu Perak kelihatan kebiruan baru-baru ini.
Pakar sains alam sekitar dan ahli kimia organik, Dr Abdul Rani Abdullah berkata data taburan hujan di kawasan berkenaan menunjukkan jumlah hujan ketika fenomena itu berlaku meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.
Menurutnya, keadaan itu penting kerana Hulu Perak secara semula jadi kaya dengan mineral dan peningkatan hujan bermakna lebih banyak air larian melalui kawasan tadahan sebelum memasuki sistem sungai.
“Apabila hujan, kita kaitkannya dengan air larian. Kesan air larian lebih besar apabila sumbernya merupakan kawasan terbuka,” katanya dalam satu taklimat kepada media baru-baru ini.
Abdul Rani berkata mineral yang dibawa masuk ke dalam sungai bagaimanapun tidak menyebabkan air bertukar biru secara automatik kerana keadaan aliran sungai turut memainkan peranan dalam menghasilkan fenomena berkenaan.
Menurutnya, Sungai Rui yang lebih sempit mempunyai aliran lebih deras, namun apabila memasuki Sungai Perak yang lebih lebar, aliran air menjadi perlahan.
Keadaan itu membolehkan partikel mineral halus berada lebih lama dalam keadaan terampai sebelum interaksinya dengan cahaya menyebabkan badan air kelihatan kebiruan.
“Apabila aliran menjadi perlahan, ia memberi peluang kepada mineral tertentu untuk berkumpul atau berada di sesuatu kawasan untuk tempoh yang lebih lama.
“Mineral itu perlu ada, kepekatannya perlu mencukupi dan keadaan air juga perlu sesuai. Apabila faktor-faktor ini berlaku pada masa yang sama, barulah fenomena itu dapat dilihat,” katanya.
Beliau berkata antara mineral yang boleh mempengaruhi warna air ialah tembaga, besi, aluminium dan silika, manakala saiz partikel turut mempengaruhi bagaimana cahaya tersebar di dalam air.
Jelasnya, keadaan itu juga menerangkan mengapa fenomena kebiruan tidak berlaku sepanjang masa meskipun mineral sememangnya terdapat di kawasan berkenaan.
“Air tidak bertukar menjadi biru sepanjang masa. Ia berlaku dari semasa ke semasa dan bergantung kepada beberapa faktor yang perlu wujud pada masa yang sama,” katanya.
Abdul Rani berkata fenomena badan air kelihatan kebiruan akibat keadaan mineral tertentu bukan sesuatu yang unik kepada Sungai Perak, sebaliknya turut pernah diperhatikan di lokasi lain termasuk di Bau, Sarawak, Semenyih, Selangor dan Bukit Ibam, Pahang.
Malah, katanya, fenomena seumpamanya pernah direkodkan di Hulu Perak sekitar 2019, menunjukkan perubahan warna berkenaan bukan sesuatu yang hanya berlaku sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti manusia termasuk perlombongan tetap perlu diambil kira sebagai antara sumber yang berpotensi menyumbang bahan mineral ke dalam sistem sungai, khususnya apabila melibatkan pembukaan tanah.
“Sebarang aktiviti pembukaan tanah boleh menyebabkan bahan dari permukaan tanah dibawa oleh air larian ke sungai. Ia bukan sahaja melibatkan perlombongan, tetapi juga aktiviti lain seperti pembukaan tanah untuk pertanian.
“Sudah tentu kawasan perlombongan adalah salah satu sumber yang tidak boleh kita ketepikan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rani menjelaskan perubahan warna tersebut tidak dengan sendirinya bermaksud air Sungai Perak berada pada tahap yang tidak selamat.
Berdasarkan persampelan dan analisis ketika kejadian air biru, kualiti air di lokasi berkenaan masih berada dalam Kelas II dan sesuai bagi kegunaan yang dibenarkan dalam klasifikasi tersebut, termasuk aktiviti perikanan dan pertanian serta sebagai sumber air mentah untuk melalui proses rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
