Norazman menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBNM Melaka

Norazman menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBNM Melaka


NORAZMAN Datuk Abu Samah meneruskan legasi keluarganya apabila menang tanpa bertanding sebagai Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM) bagi penggal 2026-2030.

Norazman yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggantikan bapanya, Allahyarham Datuk Abu Samah Wahab, yang menerajui persatuan itu sejak 1986 hingga pemergiannya pada November 2024.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Lebuhraya PKBM meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang meneruskan kepemimpinan arwah bapanya di peringkat negeri.

“Saya masih ingat pesan arwah ayah yang meminta supaya meneruskan legasi keluarga. Sememangnya keluarga kami meminati sukan berbasikal dan saya sentiasa membantu beliau di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Alhamdulillah, kini saya mengisi kekosongan jawatan Presiden PBNM selepas pemergian beliau,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Norazizie Anual turut dipilih tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden PBNM.

Bagi jawatan lain, Ahmad Muhalim Omar dilantik sebagai Naib Presiden 1, Mohd Latiff Nan (Naib Presiden 2), Ronizam Ismail (Naib Presiden 3), Menhat Abd Rahman (Setiausaha), Suryati Zanibar (Penolong Setiausaha) dan  Razali Yassin (Bendahari). – Bernama

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top