firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara mencipta sensasi apabila mengejutkan pilihan kejohanan, Indonesia B-17 dengan kemenangan 1-0 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Piala Asean B-17, di Gelora Joko Samudro, Gresik, Indonesia, hari ini.
Kejayaan itu nyata memberi suntikan moral buat pasukan Malaysia yang sebelum ini berdepan detik sukar apabila dibelasah 0-4 oleh Vietnam dalam perlawanan pembukaan.
Pada aksi berlangsung sengit itu, jaringan tunggal Fareez Danial Fadzly pada minit ke-33 sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Indonesia yang turun dengan reputasi sebagai antara pencabar utama jelas mendominasi sebahagian besar permainan, namun ketumpulan jentera serangan mereka dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad negara.
Anak buah negara mempamerkan disiplin tinggi di benteng pertahanan selain bijak menyerap tekanan sebelum melancarkan serangan balas yang akhirnya membuahkan hasil.
Gol Fareez hadir hasil gerakan kemas jentera tengah sebelum dia tenang menyudahkan peluang untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Biarpun diasak bertali arus pada babak kedua, skuad negara kekal kental mempertahankan kelebihan tipis sehingga wisel penamat.
Kemenangan berharga itu sekali gus menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk mengintai slot ke separuh akhir, sekali gus menebus kekecewaan pada aksi pembukaan sebelum ini.
Selepas ini, pasukan negara akan menentang Timor Leste, Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






