Aksi berani mati seorang pemandu bas ekpress meriba kekasih sambil memandu bas membawa padah apabila ‘merpati dua sejoli’ itu dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini.
Arif Fahmi Abd Salam, 36, dijatuhi hukuman penjara setahun manakala Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan.
Kedua-duanya turut didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira jam 7.30 malam pada 12 April lalu.
Perbuatan itu menjadi perhatian selepas video memaparkan aksi wanita tersebut duduk di riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak tular di media sosial.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Nur Adila Najwa turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada hari sama kira-kira jam 6 petang di dalam bas berkenaan ketika berada di kawasan R&R Bemban arah selatan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.






