am@hmetro.com.my
Putrajaya: Isu bahan petrokimia yang berpotensi menjejaskan rantaian sektor pembungkusan barang keperluan harian sedang diteliti secara mendalam susulan gangguan bekalan akibat penutupan Selat Hormuz.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara terbabit ada dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan penelitian lanjut sedang dilaksana Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Kerajaan menyedari gangguan terhadap bekalan bahan petrokimia bukan sahaja membabitkan plastik, malah menjejaskan pengeluaran bahan asas lain seperti ammonia, urea dan helium yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri.
“Kerajaan cakna, faham dan prihatin terhadap kesan kepada rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz, beberapa penelitian tambahan masih perlu dilaksanakan dan dapatan berkenaan dijangka dibincangkan semula dalam mesyuarat (MTEN) minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sebagai langkah awal bagi membantu syarikat terkesan, Association of Banks in Malaysia sudah mengumumkan mana-mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menghadapi kesukaran kewangan boleh berunding terus dengan bank komersial bagi mendapatkan kelonggaran terhadap kemudahan kewangan sedia ada.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi industri, khususnya sektor pembuatan dan pembungkusan makanan tidak terjejas.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) supaya kuota 300 liter BUDI RON95 dikembalikan kepada pengamal media dijangka dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Beliau berkata, setakat ini perkara berkenaan belum dibincangkan secara khusus kerana tumpuan mesyuarat MTEN semalam menumpukan sektor lain terlebih dahulu khususnya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MITI.
“Perkara ini dalam pengetahuan MTEN tetapi masih dalam giliran untuk perbincangan. Yang semalam dibincangkan membabitkan MOTAC dan MITI, Kementerian Komunikasi masih belum,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah meminta supaya isu membabitkan Kementerian Komunikasi, termasuk permohonan daripada sektor industri kreatif dibawa ke perhatian MTEN dalam mesyuarat akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






