Razali perlu henti buat ugutan terhadap 6 wakil rakyat Bersatu

Razali perlu henti buat ugutan terhadap 6 wakil rakyat Bersatu


TAIPING – Kenyataan berbaur ugutan dan hasutan terhadap enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kerajaan perlu dihentikan segera kerana tindakan itu menganggu mereka untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal berkata, perkara itu merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sejak 16 Februari sehingga 12 April lalu.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja memberi impak kepada beliau dan lima ahli Parlimen lain malah turut mempengaruhi serta menganggu emosi rakyat di kawasan mereka.

“Saya tak kisah apa keputusan yang dibuat, cuma kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan Bersatu seolah-olah sambung-menyambung menyatakan mengugut, menghalang dan menyusahkan kami untuk menjalankan tugas.

“Dia (Razali) tidak sepatutnya berbuat begitu kerana ada proses perundangan dan peraturan yang perlu dipatuhi.

“Kami masih ahli Parlimen sah yang menjalankan tugas mengikut perlembagaan dan masih setia kepada parti cuma kami menyokong kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat rumah penduduk yang ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok, Trong, dekat sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata, beliau tidak akan tunduk kepada desakan kepada mana-mana pihak dan akan meneruskan tugas sebagai ahli Parlimen seperti biasa.

“Bagaimanapun, jika Parlimen sudah menyatakan bahawasanya saya hilang hak, saya patuh. Tapi sekarang saya masih lagi ada hak, masih lagi ahli Parlimen, masih dapat elaun.

“Kenapa ada pihak yang hendak menghalang, menghasut rakyat dan membantah kami sebagai ahli Parlimen. Itu tidak berpelembagaan. Ini yang saya tidak puas hati,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan tersebut, Syed Abu Hussin memaklumkan akan menunggu tindakan lanjut dari pihak berkenaan.

“Saya akan tunggu apa lagi yang mereka akan buat sampai satu masa. Setakat ini saya nak ikut peraturan. Saya tak nak ikut kenyataan-kenyataan akhbar macam ini. Apa saja dia bagi surat saya akan jawab.

“Kalau pergi ke mahkamah saya akan ambil peguam. Kita kena profesional kerana kita perlu ikut peraturan dan tugas sebagai ahli Parlimen adalah meninggalkan rakyat kerana perlu perhatian bantuan kita.

“Jadi kalau mereka terus mengganggu tugas-tugas kita itu satu kesalahan,” katanya yang akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai ahli Parlimen dan memperjuangkan hak rakyat di Bukit Gantang sehingga akhir.

Terdahulu media melaporkan, keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Razali dalam satu kenyataan memaklumkan berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Katanya, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN itu tidak perlu menunggu notis pemecatan, sebaliknya kelulusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu, sudah memadai.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan penyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari bulan lalu, turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top