Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal melancarkan siri inisiatif sokongan komprehensif bagi menangani impak krisis bekalan global terhadap pasaran buruh negara, sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.
Langkah proaktif diambil susulan ramai rakyat Malaysia diberhentikan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menyatakan langkah proaktif itu diambil susulan perkembangan membimbangkan dalam pasaran buruh apabila 5,900 rakyat Malaysia dilaporkan diberhentikan kerja pada bulan lalu, dengan Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan kesan paling ketara.

Penambahbaikan dijangka beri lebih manfaat
Tambahnya, inisiatif tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebolehpasaran pencari kerja melalui intervensi lebih dinamik termasuk penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), sejajar dengan cabaran ekonomi global yang dipengaruhi tekanan geopolitik semasa.
“Penambahbaikan ini dijangka memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pekerja, meliputi perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).
“Usaha ini adalah langkah kritikal kementerian untuk mempercepat proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara,” katanya dalam kenyataan sewaktu mengadakan lawatan ke Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
KESUMA rancang siri jelajah
Dalam masa sama, Ramanan juga memaklumkan KESUMA turut merancang siri jelajah ke universiti di seluruh negara bagi mendekati bakal graduan, memahami cabaran mereka serta menyediakan sesi dialog, bimbingan kerjaya dan padanan pekerjaan.
Ujarnya, langkah tersebut penting bagi memastikan bakat tempatan kekal relevan dengan keperluan industri serta mempunyai daya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi yang semakin mencabar.

Pada masa sama, beliau memaklumkan MYFutureJobs tahun ini menyasarkan untuk membantu lebih 200,000 pencari kerja mendapatkan pekerjaan.
Menurut Ramanan, lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM16,000 disediakan sepanjang Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan antara yang paling banyak menawarkan peluang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan tambahan 10,000 lagi peluang pekerjaan akan ditawarkan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu pada 9 dan 10 Mei ini.
“Saya difahamkan lebih 52 syarikat bersetuju menyertai karnival kerjaya itu. Harapan kami supaya setiap langkah dan rancangan yang disusun rapi oleh kementerian dapat dilaksanakan di peringkat negeri.
“Paling penting semua pencari kerja mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.






