Menteri Pertahanan Mali maut kediaman diserang pemberontak

Menteri Pertahanan Mali maut kediaman diserang pemberontak


BAMAKO: Menteri Pertahanan Mali, Sadio Camara dilaporkan terkorban dalam satu serangan trak bom yang menyasarkan kediamannya berhampiran ibu negara, Bamako, pada Sabtu.

Penyerang terbabit dilaporkan memandu sebuah kereta sebelum meletupkan alat letupan bawaan kenderaan (VBIED) di kediaman menteri itu di Kati.

Kematian Camara disahkan oleh stesen televisyen kerajaan beberapa jam selepas kejadian. Beliau dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas berbalas tembakan dengan kumpulan penyerang tersebut.

Serangan ini merupakan sebahagian daripada siri serangan yang dilancarkan oleh kumpulan militan jihad dan pemisah di seluruh negara.

Kerajaan berkata, runtuhan kediaman menteri itu turut menyebabkan lebih ramai terkorban dan memusnahkan sebuah masjid berhampiran, dengan beberapa jemaah serta penduduk sekitar terbunuh.

Susulan kejadian itu, ketua junta tentera, Jeneral Assimi Goita dilaporkan telah dipindahkan ke lokasi rahsia yang lebih selamat selepas kediamannya turut menjadi sasaran.

Menurut jurucakap kerajaan, Issa Ousmane Coulibaly, serangan itu dilakukan menggunakan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.

Letupan kuat tersebut bukan sahaja meruntuhkan kediaman menteri, malah memusnahkan sebuah masjid berhampiran yang turut mengorbankan beberapa jemaah. Sekurang-kurangnya tiga ahli keluarga Camara juga dilaporkan maut dalam tragedi itu.

Kumpulan pejuang yang dikaitkan dengan al-Qaeda di Kati mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Sementara itu di wilayah utara, kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Azawad (FLA) mendakwa tentera upahan Russia yang diupah oleh junta Mali telah bersetuju untuk berundur dari Kidal selepas dua hari pertempuran sengit berlaku.

Mali kini berdepan krisis keselamatan yang meruncing akibat pemberontakan berlarutan oleh kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, kumpulan Negara Islam (IS), dan juga FLA.

Pertempuran pada Sabtu dilaporkan turut meletus di Gao, Kidal, Sevare, dan Mopti.

Laporan menunjukkan serangan oleh kumpulan pemisah yang mahu menubuhkan negara etnik Tuareg di utara tertumpu di bandar-bandar utara negara itu.

Pada masa yang sama, kumpulan jihad Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) turut melancarkan serangan serentak di beberapa lokasi lain di seluruh negara. -AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top