Tiada Keperluan Bubar DUN Negeri Sembilan, MB Diminta Teruskan Tugas – PM

Tiada Keperluan Bubar DUN Negeri Sembilan, MB Diminta Teruskan Tugas – PM

Tiada Keperluan Bubar DUN Negeri Sembilan, MB Diminta Teruskan Tugas – PM


Krisis politik yang melanda Negeri Sembilan ketika ini tidak memerlukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya pentadbiran negeri perlu diteruskan seperti biasa sementara segala proses perundangan diselesaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mendapatkan pandangan serta nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung kedudukan kerajaan negeri susulan penarikan sokongan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Setakat ini tidak timbul lagi isu bubar. Yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, baginda minta jalan terus sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Aminuddin juga diminta meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa selaras dengan titah Tuanku Muhriz walaupun BN mendakwa sudah memiliki majoriti mudah bersama Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

“Keputusan mereka setakat ini (BN)… dengan dengar titah Tuanku saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.

“Setakat ini saya minta Menteri Besar jalan seperti biasa dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret institusi Diraja ke dalam polemik politik kerana isu berkaitan Perlembagaan negeri perlu ditangani secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang.

Semalam, 14 ADUN UMNO dan BN mengumumkan penarikan sokongan terhadap Aminuddin sehingga menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

BN pada masa sama mendakwa mempunyai sokongan mencukupi bersama PN untuk membentuk kerajaan baharu, namun sebarang keputusan muktamad bergantung kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan proses perundangan negeri.






Source link

OR

Scroll to Top