PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menolak langkah pengkhianatan dibuat 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi menukar pentadbiran kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak berasas, malah tidak berkait langsung dengan prestasi Menteri Besar.
PH turut menzahirkan rasa kesal kerana langkah tersebut jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan ini dilihat sebagai cubaan menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran negeri tanpa mengambil kira mandat serta kestabilan politik.
“Ia juga dilakukan tanpa ketika kerajaan Perpaduan dan negara berdepan krisis bekalan global selain berusaha menguruskan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fahmi berkata, PH memberi komitmen seperti yang dipersembah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar akan terus berjalan seperti biasa.
“PH akan kekal bekerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.
“PH juga akan terus mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Semalam, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.
Namun, Aminuddin berkata, beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.- UTUSAN





