KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Datuk ND Lala meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anaknya yang juga penyanyi, Shila Amzah dalam bidang nyanyian.
ND atau nama sebenarnya, Amir Amzah Salleh, 65, berkata kejayaan shila yang dikecapi hari ini adalah berkat kesungguhan dan dedikasinya yang ditaburkan demi bidang yang tercinta.
“Syukur Alhamdulillah, penat lelah, usaha dan kerja dia berbaloi. Dia berjaya kerana tiga perkara.
“Pertama bakat yang diberi oleh Allah S.W.T. Kedua kesungguhan mengasah bakat. Ketiga, peluang,” katanya.
ND Lala, 65, berkata beliau mengharungi susah dan payah sebelum mencapai kejayaan pada hari ini.
Itu termasuk kesusahan untuk diterima ke dalam industri apabila ada yang menyangkakan Shila penyanyi berbakat tetapi tidak boleh dijual.
“Saya pernah bawa demo dia kepada semua syarikat rakaman namun tak ada satu pun yang terima.
“Jadi saya guna duit sendiri, buat pinjaman, cagar tanah untuk buat album dia yang pertama. Masa itu dia belum terkenal lagi.
“Dia belum mendapat peluang untuk berjaya. Tapi dia sabar dan berdisiplin. Dia gigih berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan,” katanya lagi.






