Selepas hampir 10 tahun, kumpulan pop-rock terkenal Australia, 5 Seconds of Summer atau lebih dikenali sebagai 5SOS bakal kembali bertemu peminat Malaysia menerusi jelajah dunia terbaharu mereka, Everyone’s A Star! 2026 World Tour.
Dianjurkan oleh SAH Entertainment, konsert tersebut dijadual berlangsung pada 17 November 2026 di Unifi Arena KL yang sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena.
Kepulangan kumpulan yang popular dengan gabungan bunyi alt-rock dan pop moden itu dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling dinanti tahun ini, khususnya buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka sejak awal kemunculan.
5SOS mula mengumumkan jelajah dunia tersebut pada November 2025, serentak dengan pelancaran album studio keenam mereka berjudul Everyone’s A Star!, iaitu karya pertama sejak tahun 2022.
Album berkenaan menampilkan sisi muzik lebih matang dan berani, dengan inspirasi daripada kumpulan seperti N.E.R.D., Gorillaz dan The Prodigy, namun masih mengekalkan identiti 5SOS yang sinonim dengan persembahan pentas penuh tenaga.
Konsert di Kuala Lumpur nanti dijangka membawakan gabungan lagu lama dan baharu sepanjang perjalanan kerjaya mereka, lengkap dengan visual imersif serta produksi bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, pihaknya melihat peluang besar untuk membawa kumpulan yang dekat dengan generasi muda kembali ke Malaysia.
“Kami dapat lihat bagaimana artis rock era 90-an dan 2000-an menerima sambutan luar biasa setiap kali datang ke sini. Jadi untuk 5SOS, kami mahu hadirkan kumpulan yang sangat dekat dengan generasi yang membesar dengan muzik mereka.
“Konsert ini terasa cukup istimewa kerana peminat sudah menunggu hampir sedekad untuk mereka kembali. Kami memang tidak sabar melihat komuniti peminat 5SOS berkumpul semula,” katanya.
Jualan tiket pra-jualan artis akan dibuka pada 4 Mei 2026 bermula jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam, manakala jualan umum bermula 5 Mei 2026 pada jam 12 tengah hari.
Tiket boleh didapati menerusi GoLive Asia, sementara peminat juga boleh mendaftar untuk akses Artist Presale melalui laman rasmi 5SOS.






