am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Berita pemergian pelakon versatil Jalil Hamid turut mengejutkan dan mendapat perhatian rakan seperjuangan malah mereka menganggapnya sebagai kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Artis veteran, Norlia Ghani meluahkan rasa sedih bila dapat tahu berita pemergian Allahyarham Jalil menerusi kumpulan WhatsApp.
“Saya akui kehilangan seorang lagi kawan baik yang juga artis seangkatan dalam bidang seni selepas Allahyarham pelakon Ismail Din dan Yalal Chin.
“Kami memang banyak bekerjasama dalam drama dan telefilem di bawah arahan Rashid Sibir dan kebanyakannya semua cerita sedih. Kalau di set, arwah seorang yang baik dan kelakar orangnya.
“Sebagai kawan, pastinya saya berasa sedih kerana selepas ini tidak dapat lagi berganding dengan pelakon yang hebat sepertinya,” katanya kepada Harian Metro
Mengulas lanjut, kata Norlia, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham Jalil pada Ramadan lalu.
“Saya memang sudah tahu arwah ada sakit gerd dan sudah jalani pembedahan sebelum ini. Bila tengok arwah kembali berlakon, saya fikir dia sudah sihat.
“Kali terakhir, kami berjumpa dalam majlis pada Ramadan lalu dan arwah nampak okay sahaja.
“Apapun, kita kena reda dengan ketentuan Tuhan kerana masanya sudah sampai,” katanya.
Pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud pula meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Allahyarham Jalil.
“Saya juga anggap pemergiannya kehilangan yang amat besar kepada industri seni tanah air.
“Allahyarham Jalil bukan sahaja seniman unggul dan versatil tetapi tidak pernah berlagak sombong walaupun ilmunya penuh di dada,” katanya.
Ditanya pengalaman berlakon, kata Fauziah, Allahyarham Jalil seorang yang profesional dan serius dengan tanggungjawab diberikan.
“Saya banyak berlakon dengan arwah sejak zaman 1980-an lagi bersama pengarah Mior Hashim Manap.
“Amat mudah bekerjasama dengannya kerana dia tidak suka susahkan orang lain,” katanya.
Antara drama lakonan Fauziah dan Allahyarham Jalil ialah Ayahanda yang di ulang tayang di TV3 ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






