Lexus Tercabar Dengan China, Perkenal SUV 3 Baris Lebih Mewah

Lexus Tercabar Dengan China, Perkenal SUV 3 Baris Lebih Mewah


Divisi kereta mewah Toyota iaitu Lexus akhirnya memperkenalkan Lexus TZ, sebuah SUV elektrik tiga baris tempat duduk yang bakal menjadi flagship EV baharu jenama itu. Model ini dibangunkan untuk mereka yang mahukan gabungan kemewahan, ruang keluarga besar dan teknologi EV moden dalam satu pakej premium.

Lexus TZ dibina atas platform yang sama dengan Toyota Highlander EV dan juga Subaru Getaway, tetapi Lexus memberikan identiti tersendiri menerusi rekaan lebih mewah, material kabin lebih premium dan talaan pemanduan khas Lexus. Ia juga menjadi EV pertama Lexus dengan konfigurasi enam tempat duduk penuh berserta ciri captain seat di barisan kedua.

Antara fokus utama TZ ialah konsep “Driving Lounge” dimana Lexus mahu kabin SUV ini terasa seperti lounge bergerak serta pada masa sama menawarkan kabin sangat senyap, luas dan selesa untuk perjalanan jauh. Bumbung panoramik besar merentasi ketiga-tiga barisan tempat duduk untuk memberi rasa lebih terbuka dan lapang.

Disebabkan ia EV sepenuhnya dengan bateri diletakkan di bawah lantai. Ini membolehkan Lexus menghasilkan ruang kaki dan ruang kepala lebih baik untuk penumpang barisan ketiga, sesuatu yang biasanya menjadi kelemahan SUV tiga baris. Lexus mendakwa orang dewasa masih boleh duduk dengan selesa di belakang.

Dari segi saiz, Lexus TZ memang besar dengan panjang keseluruhan mencecah 5,100 mm dan jarak antara roda mencecah 3,050 mm. SUV ini jauh lebih panjang daripada Lexus RX dan ini membantu Lexus TZ memberikan ruang kabin yang sangat luas serta kapasiti kargo lebih praktikal. Dengan semua tempat duduk digunakan, ruang bagasi masih cukup untuk beberapa beg besar.

Reka bentuk luaran pula cuba menggabungkan imej SUV besar dengan aerodinamik EV moden. Lexus menggunakan bahasa rekaan “Provocative Simplicity” dengan garisan badan lebih bersih, perumah roda yang besar dan lampu DRL berbentuk L yang menjadi identiti Lexus moden. Walaupun badan besar, drag coefficient TZ hanyalah 0.27, angka yang sangat baik untuk SUV sebesar ini.

Bagi rekaan bahagian dalaman, Lexus TZ tampil dengan papan pemuka minimalis bersama skrin infotainment 14 inci dan meter digital 12.3 inci. Lexus turut memperkenalkan ciri “Responsive Hidden Switch”, iaitu butang tersembunyi yang hanya menyala apabila tangan menghampiri permukaan dashboard.

Material kabin juga unik dengan Lexus menggunakan gabungan aluminium kitar semula dan trim buluh (bamboo) untuk memberi suasana lebih premium serta mesra alam. Sistem audio Mark Levinson 21-speaker turut ditawarkan, lengkap dengan mod audio khas untuk penumpang belakang.

Dari sudut kuasa, TZ menggunakan sistem dual-motor AWD dengan motor depan dan belakang masing-masing menghasilkan 167 kW. Jumlah kuasa motor elektrik sistem mencecah sekitar 408 hp, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam kira-kira 5.4 saat.

Dengan bateri lithium-ion bersaiz 95.8 kWh digunakan, Lexus mensasarkan jarak pemanduan sehingga sekitar 530 km bergantung kepada spesifikasi model. Untuk pengecasan pula, Lexus TZ menyokong DC fast charging 150 kW dengan masa 10-80% sekitar 35 minit.

Lexus turut memberi fokus kepada keselesaan pemanduan menerusi sistem Dynamic Rear Steering, DIRECT4 AWD dan mod “Rear Comfort”. Mod ini direka untuk mengurangkan olengan badan serta pergerakan kepala penumpang belakang supaya perjalanan terasa lebih tenang dan stabil.

Menariknya, TZ juga menerima sistem “Interactive Manual Drive” yang meniru pengalaman memandu kereta manual walaupun ia EV. Pemandu boleh menggunakan paddle shifter maya bersama bunyi enjin simulasi dan tindak balas stereng untuk pengalaman lebih menyeronokkan. Teknologi ini sebelum ini diperkenalkan pada Lexus RZ 550e F Sport.

Dari segi keselamatan, Lexus TZ dilengkapi Lexus Safety System+ generasi terbaru dengan penambahbaikan pada Pre-Collision System dan Dynamic Radar Cruise Control. Sistem cruise control kini menawarkan mod “Eco Run” yang membantu memaksimumkan kecekapan tenaga ketika mengikuti kenderaan di depan.

Secara keseluruhan, Lexus TZ nampaknya menjadi cubaan serius Lexus untuk melawan model seperti Kia EV9 dan juga SUV EV mewah tiga baris lain yang bakal muncul beberapa tahun akan datang. Bezanya, Lexus lebih menekankan pengalaman kabin ultra senyap dan keselesaan ala lounge berbanding imej sporty semata-mata.






Source link

OR

Scroll to Top