SEREMBAN: Usul undi percaya terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berbangkit ketika ini walaupun UMNO negeri ini kekal dengan pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, UMNO negeri ini tetap komited memastikan kerajaan Perpaduan terus stabil dan rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong berkata, buat masa ini, fokus utama parti itu adalah memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terus diurus dengan baik.
“Soal usul undi percaya tidak timbul ketika ini. Sekiranya ada Persidangan DUN, sebarang keperluan berkaitan akan dibincangkan melalui saluran parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil bahawa Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan akan terus ditadbir seperti biasa di bawah pimpinan Aminuddin.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal stabil dan pentadbiran berjalan seperti biasa di bawah Aminuddin,” ujarnya.
Selepas keputusan yang dibuat oleh Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan (PH), UMNO Negeri Sembilan membuat kenyataan untuk terus kekal dengan pendirian hilang kepercayaan kepada Menteri Besar atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mustapha berkata, UMNO negeri ini mengulangi pendirian menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama kerajaan Perpaduan di negeri ini seperti yang diputuskan oleh Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, sehingga kini, belum ada komunikasi antara kerajaan negeri dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang menarik sokongan terhadap Aminuddin.-UTUSAN.





