puterialia@hmetro.com.my
Sedia berdepan kecaman netizen di tengah kehangatan isu penyondol, pelakon, Zara Zya, 41, bakal menyaksikan transisi watak yang cukup drastik dan mengejutkan buat penonton dalam drama terbaharunya berjudul Luka Di Hujung Setia.
Memegang watak sebagai Dhia, Zara menyifatkan tanggungjawab kali ini sebagai satu cabaran besar kerana ia lari daripada zon selesa yang pernah dibawanya sebelum ini.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkongsi konflik bermula apabila Dhia terpaksa memujuk rayu suaminya untuk melepaskannya bekerja di ibu kota dengan kontrak selama enam bulan.
Mengakui naskhah terbaharunya itu bakal memberikan impak emosi yang sangat mendalam sehingga dia sendiri membenci watak yang dilakonkannya itu.
Katanya, naskhah kali ini cukup berat untuk digalas memandangkan dia sudah mula merasai kepedihan dan kemarahan terhadap watak Dhia sejak di awal pembacaan skrip lagi.
“Sukar sebenarnya untuk saya baca skrip kerana wujud rasa sedih dan benci dalam masa yang sama. Untuk drama ini, saya rasa emosinya sangat berat.
“Ada satu tahap saya rasa tidak sampai hati mahu sampaikan dialog dan jalankan penggambaran bagi babak-babak tertentu. Tetapi memandangkan kontrak sudah ditandatangani, saya perlu laksanakan tanggungjawab ini sehabis baik,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai kesediaan menerima kecaman memandangkan isu curang kini menjadi topik hangat, Zara memaklumkan dia sudah mempersiapkan mental untuk berdepan dengan sebarang reaksi netizen.
Kerinduan peminat untuk melihat gandingan serasi antara Zara dan Datuk Adi Putra bakal terubat menerusi naskhah itu.
Zara mengakui perasaan terujanya tidak dapat disembunyikan apabila kembali disatukan dengan aktor berkaliber itu selepas beberapa tahun tidak bekerjasama dalam satu set penggambaran.
“Sejujurnya, saya memang sangat teruja untuk bekerjasama semula dengan Datuk Adi Putra. Rasanya sudah bertahun-tahun kami tidak digandingkan bersama.
“Sepanjang kerjaya, saya hanya pernah terlibat dalam tiga naskhah sahaja dengan beliau iaitu drama Zahira, My Sweet Lavender dan sebuah telefilem. Jadi, ini adalah peluang yang sangat dinanti-nantikan,” katanya.
Menurut pelakon drama Love You Mr. Arrogant ini, drama itu mencatat sejarah peribadi buat dirinya kerana ini merupakan kali pertama mereka berlakon bersama sejak dia mula berhijab.
“Kali terakhir kami bekerjasama, saya masih belum bertudung. Selepas berhijab, memang belum ada rezeki lagi sehinggalah tawaran ini datang.
“Datuk Adi Putra adalah antara individu penting yang menaikkan nama saya dalam industri. Jadi bila pengarah sendiri yang tawarkan, saya terus rasa mahu bekerja dengannya semula,” katanya.
Selain Adi Putra dan Zara, Luka Di Hujung Setia turut dibintangi ramai pelakon berbakat disiarkan di TV3 pada 19 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






