PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui Malaysia perlu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi kebangkitan kuasa besar, Thailand pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei ini.
Menurutnya, kekalahan Thailand kepada Malaysia dalam acara regu berpasukan pada Sukan SEA tahun lalu di laman sendiri pasti menjadi amaran bahawa mereka akan melakukan rombakan besar-besaran bagi merampas kembali dominasi mereka.
“Thailand sudah tentu tidak akan duduk diam. Kami sudah menjangkakan mereka akan membuat persiapan rapi dan melakukan rombakan tertentu selepas tewas kepada kita tahun lalu.
“Saya pasti langkah tersebut akan membentuk pasukan atau pemain yang lebih baik berbanding sebelum ini. Kita sentiasa mengikuti perkembangan mereka dengan dekat supaya tidak terkejut dengan corak permainan terbaharu, apatah lagi jika ada wajah-wajah baharu dalam skuad kebangsaan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran Malaysia selaku tuan rumah, Mohd Sumali mengakui skuad negara berdepan cabaran besar meskipun bermain di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong tempatan.
“Memang kita yakin, tetapi dalam masa sama kita ada tekanan untuk mempertahankan kejuaraan. Cabarannya cukup besar apabila berdepan kebangkitan Thailand yang pastinya mahu bangkit daripada kekalahan sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Sumali turut memberi amaran agar tidak memandang remeh keupayaan negara lain seperti India, Korea Selatan dan Jepun yang kini semakin menunjukkan peningkatan prestasi.
“Saya tidak pelik jika bukan Thailand sahaja, malah negara lain juga akan bangkit segera. Khususnya dalam acara kuadran, kekuatan semua negara sekarang dilihat semakin seimbang.
“Acara kuadran ini terbuka kepada semua. Dengan peraturan servis dari tengah atau belakang, ia memberikan kelebihan kepada negara lain untuk mempelbagaikan taktikal permainan mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sumali turut meletakkan meletakkan sasaran awal untuk pasukan negara layak ke final dalam acara regu, regu berpasukan dan kuadran kejohanan itu.
Berdasarkan undian Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Malaysia selaku juara bertahan acara regu diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura.
Bagi acara regu berpasukan, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar, manakala skuad kuadran pula akan berdepan laluan getir dalam Kumpulan C yang turut dihuni India, Korea Selatan dan Singapura.






