Piala Agong: Johor Tigers laung amaran awal

Piala Agong: Johor Tigers laung amaran awal


JOHOR BAHRU : Johor Tigers melaungkan amaran awal apabila membelasah Putrajaya 45-5 pada aksi kumpulan B Piala Agong di Stadium Mount Austin, di sini malam tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu mencipta jaringan melalui try yang dilakukan oleh Aqasha Daniel Irwan seawal minit ketujuh.

Aqasha sekali lagi menyumbang mata buat pasukan Johor empat minit berselang, kali ini menerusi sepakan yang disempurnakan dengan baik.

Bekas pemain ragbi Samoa, Tim Nanai-Williams dan Ahmad Danny Anuar Ahmad Nazri terus menjarakkan kedudukan setelah masing-masing membuat try pada minit ke-16 dan ke-26.

Muhammad Nor Hakim Ahmad menyudahkan conversion pertama dalam perlawanan bagi menjadikan kedudukan 20-0.

Sebelum tamat babak pertama, Aiman Hakeem Razali terus melebarkan kedudukan buat juara dua kali itu dengan melakukan try pada ke-37.

Bersambung babak kedua, Johor Tigers terus garang melancarkan serangan dan berjaya melakukan try pada minit ke-44 oleh Adam Brash, manakala Williams mudah menyudahkan conversion.

Muhammad Nur Hakim melakukan try keduanya pada perlawanan itu pada minit ke-47 bagi menambah derita buat pasukan pelawat.

Pada minit ke-56, Amirul Mukminin Amizan yang dibawa masuk pada babak kedua meneruskan penguasaan pasukan tuan rumah apabila membuat try bagi melebarkan kedudukan.

Anak jati Johor, Muhammad Nur Hakim Ahmad menyumbangkan tiga mata menerusi sepakan dari jarak 55 meter menjadikan kedudukan 45 tanpa balas pada minit ke-74.

Skuad Putrajaya tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya membuat try pada minit akhir perlawanan oleh Pita Yavi Mai Wai pada minit ke-77.- UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top