Lebih 1,000 pelajar sertai Klinik NSL, 20 dipilih ke Boot Camp

Lebih 1,000 pelajar sertai Klinik NSL, 20 dipilih ke Boot Camp


SIRI Klinik Netball Super League (NSL) 2026 terus menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan pelajar dan belia sepanjang lima siri penganjuran di sekolah serta institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara.

Memasuki musim ketiga penganjuran, program berkenaan kini dilihat semakin kukuh sebagai platform pembangunan akar umbi bola jaring wanita dengan penyertaan meluas daripada pelajar, ibu bapa dan institusi pendidikan yang melihat sukan itu sebagai medium pembentukan disiplin, keyakinan serta potensi bakat muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, Klinik NSL bukan sekadar inisiatif penyiaran, sebaliknya satu usaha membina laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun dan berterusan di peringkat akar umbi.

“Melalui Klinik NSL, kami komited memanfaatkan platform dan capaian yang ada bagi membantu membentuk laluan pembangunan bakat akar umbi yang lebih tersusun.

“Pembangunan sukan perlu bermula dari peringkat awal dengan akses, peluang dan pendedahan yang betul,” katanya.

Beliau berkata, sambutan memberangsangkan daripada pelajar sekolah dan mahasiswa di pelbagai negeri membuktikan potensi besar dalam kalangan generasi muda, sekali gus memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, pembangunan bola jaring wanita juga perlu diperkukuh secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di rantau ini, selain melahirkan lebih ramai pemain berkaliber pada masa depan.

Siri penutup Klinik NSL 2026 berlangsung di SMK Seri Tasik, Cheras dengan kehadiran hampir 300 peserta, termasuk dari sekolah sekitar Lembah Klang.

Selain itu, program turut diperluaskan ke Perak serta beberapa institusi pengajian tinggi bagi memberi peluang penyertaan lebih meluas.

Menariknya, program berkenaan turut menerima penyertaan pelajar dari luar Lembah Klang termasuk Kedah, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan yang sanggup hadir bagi merebut peluang ke peringkat seterusnya.

Daripada keseluruhan penyertaan, 20 peserta terbaik telah dipilih untuk menyertai NSL Final Boot Camp 2026 yang dijadual berlangsung pada 16 dan 17 Mei bersempena NSL Regional Cup 2026.

Boot camp itu bakal memberi pendedahan latihan intensif bersama jurulatih kebangsaan selain pengalaman berada dalam suasana latihan profesional, sekali gus menjadi platform penilaian terakhir bakat muda.

Klinik NSL 2026 turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain diiktiraf dalam aktiviti kokurikulum KPM yang mengukuhkan lagi peranannya dalam ekosistem pembangunan sukan negara.

Dengan sambutan yang semakin meningkat setiap musim, Klinik NSL dilihat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jambatan penting antara pembangunan akar umbi dan laluan ke pentas bola jaring kompetitif peringkat lebih tinggi.



Source link

OR

Scroll to Top