am@hmetro.com.my
Tawau: Seramai 156 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Pelabuhan Tawau, di sini, dalam operasi pemindahan terbaharu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.
Program pemindahan siri keempat tahun ini membabitkan 121 lelaki dan 24 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 62 tahun.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata semua tahanan dihantar pulang ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri melalui pintu masuk laut Pelabuhan Tawau, di sini.
Katanya, proses penghantaran pulang itu turut diselaraskan dengan kerjasama pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi memastikan urusan dokumentasi dan pemindahan berjalan lancar.
“Program pemindahan ini adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan Jabatan Imigresen dalam menangani isu kebanjiran PATI di Sabah.
“Sehingga hari ini, seramai 2,662 tahanan PATI sudah berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
beliau berkata, warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi tahanan PATI yang dipindahkan iaitu sebanyak 63 peratus, diikuti warga Indonesia (31 peratus), Pakistan (3 peratus), China (2 peratus) dan warganegara lain (1 peratus).
Beliau berkata, kebanyakan tahanan terbabit dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menyalahgunakan pas lawatan di negeri ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






