ARSENAL dilaporkan antara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang paling banyak mendapat manfaat daripada keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) musim ini, berdasarkan satu kajian baharu yang menganalisis kesan teknologi itu terhadap kedudukan liga.
Kajian yang dijalankan oleh AceOdds mendapati hanya dua kelab menerima lebih banyak keputusan memihak berbanding Arsenal, selepas kemenangan 1-0 ke atas West Ham United pada Ahad lalu yang turut mencetuskan perdebatan.
Dalam perlawanan tersebut, West Ham menyangka mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-95 menerusi jaringan Callum Wilson, namun gol itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran terhadap penjaga gol Arsenal, David Raya dalam situasi sepakan sudut.
Ulangan video menunjukkan jersi Raya ditarik oleh Jean-Clair Todibo ketika perebutan bola udara, selain insiden lain membabitkan pertembungan fizikal di kawasan kotak penalti yang turut diteliti pengadil perlawanan.
Keputusan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi dengan pengendali West Ham, Nuno Espirito Santo menyifatkan pegawai perlawanan gagal memahami situasi kekasaran sebenar, manakala pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertahankan keputusan VAR tersebut.
Kajian sama turut merumuskan bahawa tanpa VAR, Manchester City berpeluang mendahului saingan liga dengan kelebihan satu mata, sekali gus mengubah perebutan kejuaraan menjelang penghujung musim.
Selain itu, Brighton dilaporkan akan berada tujuh mata lebih baik tanpa VAR, sekali gus melonjak ke kelompok empat terbaik, manakala Bournemouth turut mencatat peningkatan lima mata untuk menghuni tangga kelima.
Sebaliknya, Aston Villa dan Liverpool masing-masing kekal atau kehilangan mata minimum, namun masih terkesan dalam perubahan keseluruhan kedudukan liga.
Di zon penyingkiran, West Ham kekal di kedudukan berisiko walaupun kajian menyatakan Tottenham Hotspur kini digantikan oleh Nottingham Forest dalam senarai pasukan yang lebih terkesan akibat VAR.
Nottingham Forest dilaporkan memperoleh enam mata tambahan hasil keputusan VAR, manakala Tottenham antara kelab yang paling terkesan dengan pengurangan empat mata.
Sunderland turut mencatat peningkatan enam mata tetapi masih belum selamat sepenuhnya, manakala Crystal Palace berada sedikit di atas zon bahaya walaupun hanya berkelebihan empat mata.
Kajian itu turut merumuskan bahawa Manchester City akan muncul juara liga tanpa penggunaan VAR, dengan kelebihan dua mata di hadapan Arsenal, manakala West Ham pula diramalkan tersingkir daripada saingan elit itu.






