Jurulatih Curacao letak jawatan sebulan sebelum Piala Dunia

Jurulatih Curacao letak jawatan sebulan sebelum Piala Dunia


WILLEMSTAD: Persiapan bersejarah pasukan Curacao ke Piala Dunia 2026 menerima tamparan hebat apabila ketua jurulatih, Fred Rutten meletakkan jawatan hanya sebulan sebelum kejohanan bermula.

Pasukan debutan Piala Dunia itu kini berdepan situasi genting selepas kehilangan pengendali utama yang dilantik pada Februari lalu menggantikan Dick Advocaat.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Curacao (FFK) yang memaklumkan keputusan itu dicapai selepas perbincangan konstruktif bersama pihak pengurusan tertinggi.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya besar mengenai kestabilan pasukan yang bakal membuat penampilan pertama mereka di pentas Piala Dunia sebagai negara paling kecil dari segi populasi dalam sejarah kejohanan.

“Tidak seharusnya wujud suasana yang menjejaskan hubungan profesional yang sihat dalam pasukan atau kalangan staf.

“Itulah sebabnya keputusan untuk berundur adalah langkah yang tepat. Masa semakin suntuk dan Curacao bergerak ke hadapan. Saya kesal dengan apa yang berlaku, namun saya mendoakan yang terbaik untuk semua,” kata Rutten.

Curacao sebelum ini mencatat keputusan kurang memberangsangkan apabila tewas dalam dua aksi persahabatan pada Mac lalu termasuk kekalahan besar 5-1 kepada Australia.

Dalam perkembangan sama, FFK memaklumkan satu sidang media khas akan diadakan bagi menjelaskan situasi terkini serta hala tuju pasukan menjelang aksi di Kumpulan E yang turut membabitkan Jerman, Ecuador dan Ivory Coast.

“Fokus persekutuan kini adalah untuk mengekalkan ketenangan dalam pasukan kebangsaan serta meneruskan usaha membina hala tuju ke arah aspirasi sukan Curacao,” menurut kenyataan itu. – AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top