Perlu beri penjelasan proses, bukan sekadar kata ‘memenuhi syarat’

Perlu beri penjelasan proses, bukan sekadar kata ‘memenuhi syarat’


Polemik mengenai isu tujuh pemain ‘warisan’ masih berterusan.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) digesa memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain ‘warisan’ dan bukan hanya memberi jawapan umum bahawa mereka ‘sudah memenuhi syarat’.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, penjelasan tersebut amat diperlukan memandangkan pada pandangan umum tujuh pemain terbabit didakwa tidak memenuhi kriteria di bawah Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan sehingga mencetuskan polemik berpanjangan.

“Memang benar isu kelayakan bermain untuk negara berbeza dengan isu kewarganegaraan yang diberikan KDN. Bagaimanapun, pemberian kewarganegaraan ini pada peringkat awalnya telah menimbulkan banyak tanda tanya kerana syarat di bawah Artikel 19 Perlembagaan menyatakan dengan jelas kriteria yang diperlukan.

“Pada pandangan umum, tujuh pemain tidak memenuhi syarat-syarat tersebut. Jadi, amat penting untuk KDN menerangkan dengan jelas apakah proses pemberian kewarganegaraan tersebut, bukan hanya memberi jawapan ‘sudah memenuhi syarat’ sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu membabitkan status kerakyatan tujuh pemain itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat FAM sebelum dikemukakan kepada KDN.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil menegaskan bahawa status kewarganegaraan pemain terbabit tidak wajar dipertikaikan kerana semua proses dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa isu tersebut merangkumi dua aspek berbeza iaitu proses pemberian kewarganegaraan dan kelayakan pemain untuk beraksi bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain ‘warisan’ negara itu.

Mengulas lanjut, Nik Erman menekankan bahawa perkara itu tidak lagi menjadi isu sukan sebaliknya menyentuh soal kedaulatan negara.

“Isu ini sangat penting kerana kewarganegaraan adalah isu kedaulatan negara. Harus diingatkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan tidak ada apa-apa yang boleh mengatasi Perlembagaan.

“Oleh itu, amat penting untuk rakyat mengetahui bagaimana kewarganegaraan yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan masih boleh diberikan kepada mereka yang pada dasarnya dilihat tidak memenuhi syarat-syarat tersebut,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top