Munoz mengakui berdepan dilema pemilihan pemain menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Kuching City FC. Foto: Johor Southern Tigers
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui berdepan dilema pemilihan pemain menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Kuching City FC di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Beliau berkata, kekuatan skuad Harimau Selatan yang memiliki ramai pemain berkualiti serta peraturan liga berkaitan kombinasi pemain tempatan dan import menyukarkan proses menentukan kesebelasan utama.
“Agak sukar untuk memilih tahap terbaik bagi perlawanan esok kerana kami mempunyai ramai pemain berkualiti. Berdasarkan kapasiti dan peraturan, kami perlu memilih kombinasi tertentu.
“Kami juga perlu memahami gabungan antara pemain import dan tempatan. Ia bukan hanya soal nama, sebaliknya memilih pilihan terbaik untuk kesebelasan utama,” katanya pada sidang media praperlawanan pada Jumaat.
Munoz berkata, keadaan akan menjadi lebih mudah sekiranya pasukan dibenarkan menggunakan keseluruhan skuad tanpa kekangan peraturan, namun beliau menerima situasi itu sebagai cabaran yang perlu diharungi.
Beliau turut menjangkakan aksi final bakal berlangsung sengit apabila Kuching City muncul antara pasukan terbaik musim ini selepas menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua.
Katanya, perlawanan akhir itu menyaksikan pertembungan dua pasukan terbaik negara dan menuntut fokus tinggi bagi memastikan JDT menutup musim cemerlang dengan kejayaan.
“Kami mahu menutup musim ini dengan cara terbaik kerana ia satu musim yang hebat. Kami akan cuba memberikan aksi terbaik dan menamatkan kempen dengan keputusan positif.
“Cabaran utama ialah kami berdepan pasukan yang hanya bolos 14 gol sepanjang liga. Setiap pertemuan sebelum ini juga berlangsung sengit,” katanya.
JDT memburu kejuaraan Piala Malaysia kali kelima selepas muncul juara pada 2019, 2022, 2023 dan 2024/2025, manakala Kuching City di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak berpeluang mencipta sejarah menjulang trofi sulung.
Perlawanan final itu akan dikendalikan empat pegawai perlawanan dari Qatar sebagai sebahagian usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL)meningkatkan standard pengadilan dalam kejohanan berprestij itu.





