mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pencipta kandungan, Shimi Mie tampil memohon maaf secara terbuka atas kesilapannya mengeluarkan fakta yang salah berkaitan kumpulan legenda, Search.
Shimi Mie menerusi kontennya yang banyak menceritakan mengenai sejarah band-band rock lama, baru-baru ini mengaitkan pelakon Susan Lankaster pernah menjadi pemain keyboard kumpulan terbabit.
Dia juga mendakwa bahawa kumpulan Search pernah tidur dalam stor dan ia mengundang perhatian pemain gitar Search, Hillary Ng yang meminta influencer yang membuat konten berkenaan band mereka agar menyemak fakta terlebih dahulu.
“Hari itu saya ada buat konten tentang band Search, tapi saya tak tahu ada beberapa info yang tak kena dalam konten saya itu. Saya ini memang membesar dengan lagu-lagu rock, memang jiwa saya minat rock dan saya hormat semua legenda muzik tempatan.
“Cuma masalah bagi saya ini, saya tak kenal secara depan-depan dengan band yang saya nak cerita dalam konten saya. Jadi saya cuma korek-korek dan selok maklumat dalam laman sosial untuk cari info sebelum buat video.
“Dan dari situlah, saya tersilap ambil beberapa maklumat yang akhirnya buat ramai kecewa dengan info yang saya bagi.
Bila saya tengok balik dan baca komen, saya faham kenapa ramai kecewa, terutamanya peminat kumpulan Search dan semua ahli-ahli band Search yang banyak berjasa dalam dunia rock tempatan,” katanya menerusi TikTok.
Dia juga memohon maaf secara peribadi kepada Hillary atas kesilapan info yang disampaikan dalam konten tersebut.
“Saya akui itu memang salah saya sebab tak semak dengan lebih teliti. Saya minta maaf kepada semua juga peminat rock tanah air Malaysia, peminat Search dan siapa-siapa yang terasa dengan konten itu.
“Terima kasih juga kepada yang tegur dan betulkan saya dengan cara yang baik. Di masa akan datang, saya akan cuba lebih berhati-hati dan lebih teliti lepas ini bila buat konten pasal sejarah muzik ataupun legenda rock tempatan.
“Dan pada semua peminat rock tempatan dan kumpulan Search, saya memohon maaf di atas kesilapan saya ini,” katanya.
Terdahulu perkara ini turut menjadi polemik hebat dikalangan penggiat seni antaranya bekas penyanyi Bumi Putra Rockers (BPR) yang kesal perkara ini digunakan oleh ramai pencipta kandungan atau pempengaruh untuk mencari publisiti murahan.
Nada sama turut diluahkan oleh vokalis legenda, Datuk Awie. Dia mengakui terkejut apabila nama kumpulannya ditulis nama Teruna Sekampung sebelum dikenali sebagai Wings dalam Wikipedia dan ia adalah fakta yang tidak benar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






