Kuala Lumpur: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mendedahkan bahawa nasihat daripada institusi diraja Johor mendorong beliau untuk memohon maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas beliau sebelum itu menggesa Ahmad Zahid berundur susulan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menasihati secara peribadi bahawa kenyataannya itu keterlaluan dan langkah terbaik adalah untuk memperbaiki keadaan.
“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.
Onn Hafiz berkata, beliau kemudiannya menemui Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.
“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau memaafkan saya.
“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya.
Pengakuan terbuka itu muncul selepas pengacara bersama, Shahril Hamdan, membangkitkan hakikat bahawa Onn Hafiz adalah pemimpin UMNO pertama yang secara terbuka menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas PRU15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin, sedangkan Shahril sendiri digantung kerana kenyataan serupa.
“Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” kata Shahril.
Onn Hafiz tidak mengelak daripada menjawab persoalan itu.
“Pada masa itu, saya menerima nasihat daripada istana Johor. Dan saya juga banyak berdoa,” katanya sambil mencetuskan gelak tawa hos.
BN hanya memenangi 30 kerusi pada PRU-15, sekali gus mencetuskan desakan dalam parti supaya Ahmad Zahid mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan pada PRU-14.
© New Straits Times Press (M) Bhd





