AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah mencuri perhatian apabila bersama-sama memeriahkan International Sunrise TriFest @ Desaru 2026 di Sand & Sandals Desaru Beach Resort pada Ahad.
Awalnya bermula sebagai cabaran peribadi buat Syed Saddiq kini berkembang menjadi perjalanan penuh makna apabila Bella turut menyertai acara tersebut buat pertama kali bersama dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Acara yang berlangsung di Sand & Sandals Desaru Beach Resort itu menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta dari hampir 30 negara namun tumpuan ramai turut terarah kepada kemunculan pasangan berkenaan bersama keluarga yang mencuri perhatian sepanjang festival sukan itu.
Syed Saddiq yang menyertai kategori mencabar 113 Triathlon buat tahun ketiga berturut-turut berjaya menamatkan cabaran renang sejauh 2.25 kilometer (km), kayuhan basikal 90km dan larian 21km dengan catatan 5 jam 30 minit 13 saat (s).
“Saya sangat gembira dapat kembali ke sini untuk tahun ketiga berturut-turut. Apa yang bermula sebagai cabaran peribadi kini menjadi sesuatu yang jauh lebih bermakna kerana orang tersayang turut melalui perjalanan ini bersama saya,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Bella serta penyertaan Ayden dan Ara sebagai pelengkap kepada pengalaman paling istimewa dalam penyertaannya di acara tersebut.
“Melihat Ayden kembali berlumba, Ara membuat penampilan sulung dan Bella menyertai acara ini buat pertama kali benar-benar menjadikan pengalaman tahun ini sangat bermakna untuk saya,” katanya.
Bella pula mengakui pengalaman pertamanya sebagai peserta memberikan perspektif baharu selepas sebelum ini hanya hadir sebagai penyokong dari tepi gelanggang.
“Ini pengalaman yang sangat baharu dan menyeronokkan untuk saya. Sebelum ini saya hanya datang untuk menyokong tetapi tahun ini akhirnya saya sendiri dapat turut serta,” katanya.
Menurut Bella, penglibatan dalam acara itu membuatkannya lebih menghargai disiplin, usaha dan semangat yang diperlukan dalam sukan lasak seperti triathlon.
Bella beraksi dalam Olympic Distance Female Relay bersama pasukan ‘BAM’ yang turut disertai rakan baiknya Datin Indera Dr Sharifah Nur ‘Insyirah serta atlet muda Australia, Michaella Widjaya, sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan catatan 3 jam 20 minit 59s.
Sementara itu, anak sulung Bella, Ayden Adrean kembali berlumba dalam kategori Super Sprint Triathlon lelaki 10 hingga 12 tahun dan menamatkan saingan di kedudukan kelapan.
Adiknya, Ara Adreanna pula mencuri perhatian apabila meraih tempat ketiga dalam kategori KiTS Aquathlon bawah tujuh tahun dalam penampilan sulungnya di kejohanan tersebut.
Pengarah perlumbaan, Andy Foo berkata, perjalanan keluarga itu mencerminkan semangat sebenar Sunrise TriFest yang bukan hanya tertumpu kepada persaingan semata-mata, tetapi juga gaya hidup sihat dan inspirasi keluarga.
“Syed Saddiq bermula sebagai peserta solo, kemudian Bella hadir memberi sokongan, diikuti penyertaan anak-anak mereka dan kini semuanya menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya.






