Ex-Treble Kelantan umum beli 80 peratus saham Kelantan WTS FC

Ex-Treble Kelantan umum beli 80 peratus saham Kelantan WTS FC


BEKAS-bekas pemain Kelantan yang kini bernaung di bawah pasukan Ex-Treble Kelantan mengumumkan hasrat untuk membeli sebanyak 80 peratus saham Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) sekali gus bakal menjadi peneraju utama kelab berkenaan.

Wakil Ex-Treble Kelantan, Mohd Nor Farhan Muhammad berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak kini berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas semua proses dimuktamadkan.

Menurutnya, langkah itu dibuat demi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan selain memperkukuhkan pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.

“Kami sudah mencapai persetujuan bersama dengan Kelantan WTS FC untuk membeli majoriti saham pasukan ini. Jika semuanya berjalan lancar, Ex-Treble Kelantan akan bersama-sama mengangkat semula martabat bola sepak Kelantan.

“Kam juga berharap dapat membawa kembali tokoh pembangunan bola sepak Kelantan seperti Tan Sri Annuar Musa untuk bersama-sama membantu pasukan ini selain mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain dan penaja,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, konsortium yang dibentuk oleh bekas pemain, pengurusan serta penyokong era kegemilangan Kelantan itu turut merancang pembangunan akademi bola sepak selain mengendalikan sebuah pasukan semi pro yang dijangka menggunakan nama Kelantan City.

Katanya, penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan identiti, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan baharu bola sepak Kelantan yang lebih tersusun dan profesional.

“Walaupun berlaku perubahan pemilikan saham, pangkalan pasukan di Tendong dijangka dikekalkan memandangkan kerjasama dengan pihak WTS FC akan diteruskan,” katanya.

Antara bekas pemain Kelantan yang hadir pada sidang akhbar itu ialah Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya, Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaludin dan Farisham Ismail.

Sementara itu, Presiden Kelantan WTS FC, Wan Muhd Ridhuan Abdullah berkata, beliau terbuka menerima penyertaan Ex-Treble Kelantan sebagai pemegang saham utama demi masa depan bola sepak negeri tersebut.

Menurutnya, pihaknya percaya pengalaman serta semangat bekas pemain Kelantan mampu membawa perubahan positif kepada pasukan selain memperkukuhkan lagi pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

“Matlamat utama kami adalah pembangunan bola sepak Kelantan.

“Jika kerjasama ini menjadi kenyataan, ia diharap dapat membuka lembaran baharu buat pasukan dan memberi manfaat kepada bola sepak negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga terbuka untuk bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak lain di Kelantan termasuk yang bersaing dalam Liga Super, A1 dan A2 demi pembangunan bola sepak negeri secara menyeluruh.

 



Source link

OR

Scroll to Top