Superkumputer meramalkan PSG bakal mengecewakan Arsenal dan mempertahankan trofi Liga Juara-Juara. Foto janaan AI
PARIS Saint-Germain (PSG) kini dilihat sebagai pilihan utama untuk menjuarai Liga Juara-Juara 2025/2026 selepas superkomputer Opta mengubah ramalan terbaharu menjelang aksi final menentang Arsenal.
PSG mara ke final selepas menyingkirkan Bayern Munich 6-5 secara agregat, manakala Arsenal menewaskan Atletico Madrid menerusi kemenangan 2-1 secara agregat untuk mengesahkan pertembungan di Budapest.
Opta sebelum ini beberapa kali meletakkan Arsenal sebagai calon utama, namun kini PSG memiliki kelebihan dengan kebarangkalian 55.78 peratus untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Arsenal 44.22 peratus.
Perubahan itu didorong prestasi serangan PSG yang menjaringkan 44 gol sepanjang kempen, selain jangkaan kembalinya Ousmane Dembélé ke tahap kecergasan penuh.
Arsenal pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris, selain kekuatan benteng pertahanan yang menjadi antara terbaik musim ini.
Final dijangka berlangsung sengit apabila PSG memburu gelaran kedua berturut-turut, manakala Arsenal mengintai trofi UCL pertama dalam sejarah kelab.






