Selangor belum putus lepas ‘permata’ Jordan

Selangor belum putus lepas ‘permata’ Jordan

Selangor belum putus lepas ‘permata’ Jordan


PETALING JAYA: Selangor FC masih belum bersedia melepaskan dua tonggak import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi memandangkan rundingan mengenai masa depan mereka masih berlangsung menjelang musim baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Johan Kamal Hamidon mengakui status kedua-dua pemain itu belum dimuktamadkan kerana kelab mahu meneliti semua kemungkinan terutama selepas Jordan berjaya mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026.

Menurut beliau, penyertaan Jordan di pentas terbesar dunia itu dijangka melonjakkan lagi nilai pasaran pemain sekali gus membuka peluang lebih besar untuk mereka menarik perhatian kelab luar negara.

“Sebenarnya kami masih dalam perbincangan kerana sudah tentu bila seorang pemain pergi ke Piala Dunia, nilai pasaran akan meningkat kerana lebih banyak pasukan serta jurulatih akan melihat mereka.

“Jadi kami akan menilai bagaimana keputusan kejohanan itu nanti,” katanya.

Mohammad Abualnadi

Kenyataan tersebut sekali gus meredakan spekulasi yang mula hangat diperkatakan penyokong Red Giants selepas kedua-dua pemain berkenaan memuat naik mesej penuh emosi di media sosial seolah-olah memberi bayangan mereka bakal meninggalkan kelab.

Abualnadi sebelum ini mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik ucapan penghargaan kepada Selangor FC bersama gambar hitam putih, sebelum Al-Rawabdeh turut melakukan perkara hampir sama tidak lama kemudian.

Kehilangan dua pemain itu pastinya memberi tamparan besar kepada skuad kendalian Kim Pan-gon memandangkan Al-Rawabdeh menjadi nadi utama jentera tengah pasukan manakala Abualnadi pula muncul antara benteng paling konsisten sepanjang dua musim terakhir.

Malah, peranan besar kedua-dua pemain Jordan itu turut membantu Selangor muncul antara pencabar utama Liga Super Malaysia selain mara sehingga ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) musim ini. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top