Hakim Danish akhirnya menamatkan perlumbaan di podium dalam musim penuh pertamanya di Moto3. Foto FB Hakim Danish
INSIDEN kemalangan pada sesi latihan tidak mematahkan semangat pelumba negara, Hakim Danish Ramli apabila beliau cemerlang menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga di Litar Mugello sebentar tadi.
Pelumba berusia 18 tahun itu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mempamerkan tunggangan konsisten dalam perlumbaan 17 pusingan sebelum menamatkan aksi dengan catatan masa 33 minit 08.257 saat (s).
Hakim Danish hanya ketinggalan 0.456s di belakang pemenang tempat pertama, Brian Uriarte dari Red Bull KTM Factory Racing, sekali gus mengesahkan podium sulungnya dalam saingan Moto3 musim ini.
Lebih manis, pencapaian itu turut menamatkan penantian negara untuk kembali merasai podium dalam kategori berkenaan selepas tempoh 10 tahun, menjadikannya detik bersejarah buat sukan permotoran Malaysia.
Dalam perlumbaan penuh sengit itu, rakan sepasukan Uriarte, Alvaro Carpe menamatkan saingan di tempat kedua dengan kelebihan tipis 0.418s.
Sementara itu, pelumba Indonesia, Veda (Honda Team Asia) menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan selepas turut mempamerkan aksi kompetitif sepanjang perlumbaan.






